WELCOME NOTES


Tuesday, November 23, 2010

Kenali Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah (Astro OASIS & TV3)


Pada peringkat awal kemunculannya di kaca televisyen menerusi program-program dakwah, mungkin tiada siapa yang mempedulikannya. Hari ini, ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah semakin dikenali masyarakat. Lagak spontan dan gaya bersahaja beliau ketika mengendalikan beberapa rancangan televisyen berjaya menarik perhatian penonton. Segmen Khazanah Dari Syurga dan Kalamullah yang disiarkan di saluran Astro Oasis dan TV3 sepanjang bulan Ramadhan lalu secara tidak langsung melonjakkan nama Asni dalam dunia dakwah tanah air.

Kemahirannya bermain kompang sambil mengajar kanak-kanak membaca al-Quran memperlihatkan keunikan Asni dalam mendidik mereka. Di sebalik perjalanan kerjayanya dalam bidang dakwah di Malaysia, wanita berusia 34 tahun itu sebenarnya mempunyai cita-cita yang berbeza daripada bidang yang diceburinya sekarang. Memperoleh keputusan cemerlang iaitu pencapaian 11 agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sudah pasti Asni mudah menyambung pengajian dalam bidang yang diminatinya iaitu perubatan. Apatah lagi, sejak kecil, beliau memang mempunyai impian untuk menjadi seorang doktor kerana menganggap ia satu pekerjaan yang mulia dan dapat membantu mereka yang berada dalam kesakitan.

Tetapi kuasa Allah s.w.t mengatasi segala-galanya. Sewaktu sibuk memerah otak ketika menghadapi peperiksaan SPM, wanita yang berasal dari Felda Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan itu terbaca sepotong hadis dan terus mengubah pendiriannya dalam memilih hala tuju masa depan.

Hadis yang berbunyi: "Barangsiapa yang menghafaz al-Quran, nescaya Allah akan memakaikan ibu bapanya di akhirat kelak dengan mahkota yang begitu indah dan bersinar cahayanya melebihi cahaya matahari yang menyinari dunia," ternyata berjaya meresap masuk ke dalam lubuk hatinya.

"Saya sendiri tidak menyangka betapa besarnya kesan yang diterima sebaik sahaja membaca hadis tersebut di dalam sebuah buku bertajuk Fadilat Al-Quran. Niat asal saya cuma untuk merehatkan fikiran selepas puas menelaah buku-buku ilmiah. Alhamdulillah, dengan ungkapan yang penuh indah itu, ia berjaya membuka pintu hati saya untuk bergelar hafiz al-Quran. Hasrat saya cuma satu iaitu menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa dengan memberikan 'hadiah' paling bernilai untuk mereka," ungkap Asni yang menetap di Bandar Baru Bangi.

Walaupun pada awalnya, niat Asni untuk beralih arah dalam jurusan tahfiz al-Quran dipersoalkan oleh anggota keluarga terdekat kerana beliau cemerlang dalam pelajaran, namun beliau nekad.

"Ketika itu, saya merasakan semua orang berpeluang untuk masuk ke universiti, tetapi bukan semua orang dipilih Allah untuk menjadi hafiz al-Quran. Jadi, hasrat murni saya tetap diteruskan," jelasnya.

Mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran melalui pengajian peringkat diploma di Darul Quran di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Asni mengakui ia bukan satu tugas mudah untuk dilaksanakan. Banyak pantang larang perlu dipatuhi untuk bergelar penghafaz al-Quran. Ini termasuklah dalam aspek pemakanan dan akhlak diri. Menurut Asni lagi, apa yang paling penting adalah menjaga ketakwaan diri kerana dengan cara itu, ilmu dapat diperoleh dengan penuh berkat.

"Apa yang dimaksudkan dengan ketakwaan itu adalah kita perlu menjaga amal seperti solat dan membaca al-Quran, menjaga perangai atau tingkah laku serta tahu batas pergaulan dan adab dengan ibu bapa, sahabat mahu pun guru. Ia antara kunci untuk seseorang mencapai kejayaan dalam menuntut ilmu," jelas Asni lebih lanjut.

Bergelar seorang hafizah Quran, Asni amat bertuah kerana turut bersuamikan seorang hafiz Quran. Meskipun perkahwinannya dengan Ustaz Mohd. Nasir Rustam al-Hafiz, 36, diatur oleh abangnya sendiri, ternyata kebahagiaan tetap menjadi milik pasangan itu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata berusia antara empat hingga 10 tahun. Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah yang dapat digambarkan kepada anak-anak comel pasangan bahagia itu.

Yasmin Sofea, 10; Muhammad Adam Shauqi, 9; dan Mariam Hani, 7; masing-masing telah menunjukkan kebolehan menghafaz al-Quran berkat bimbingan ibu bapa mereka. Seorang lagi anak Asni bernama Muhammad Naufal Kholili. Sebagai anak sulung, Yasmin Sofea mengakui ingin menunjukkan contoh terbaik kepada adik-adiknya. Justeru, dia bersungguh-sungguh untuk menghafaz al-Quran.

"Saya berasa amat seronok kerana berpeluang mendalami ilmu tahfiz seperti mama dan baba. Kalau boleh, saya ingin menjadi seperti mereka. Sekarang, saya sudah berjaya menghafaz tiga juzuk al-Quran. Insya-Allah, jika terus berusaha, saya pasti akan berjaya," ujar Yasmin Sofea yang menuntut di Madrasah Maahad Ad-Dirasatil Islamiyyah, Bandar Baru Sri Petaling.

Dalam mendidik anak-anak, Asni dan Nasir sepakat menjadikan al-Quran sebagai teman baik mereka. Ujar Nasir, jika anak-anak kekal berpegang pada al-Quran dan menjadikan ia satu budaya hidup, mereka pasti mampu berhadapan dengan godaan duniawi.
"Sebenarnya, setiap ibu bapa harus mendekatkan diri mereka dan anak-anak dengan amalan membaca al-Quran. Dengan cara inilah, generasi muda yang berakhlak mulia dapat dibentuk," kata Nasir yang menghafaz al-Quran ketika berusia 12 tahun sambil menambah Asni merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai untuknya.

Bukan sahaja Nasir, tetapi ibu kandung Asni, Rokiah Suhada, 72, pasti menjadi insan paling gembira melihat anak yang dikandung selama sembilan bulan berjaya menjadi insan berguna untuk agama, bangsa dan negara. Mengakui amat rapat dengan anak bongsu daripada enam beradik itu, Rokiah berkata, sejak kecil Asni memang rajin mengikutnya ke surau.

"Tanpa perlu disuruh, dia setia mengekori mak cik ke mana sahaja mak cik pergi terutama apabila ke surau untuk mendengar ceramah agama atau mengaji al-Quran. Tiada apa yang dapat mak cik katakan, selain pujian kesyukuran kepada Allah di atas apa yang dikurniakan," tutur Rokiah yang masih sihat walaupun semakin dimamah usia.

Jawatan Kini : Timbalan Pengarah Urusan, Tahsin Al Quran Training Centre



Tarikh Lahir: 29hb April 1975


Alamat: No 13-1, Jalan Reko Sentral 2, Reko Sentral, Kajang 43000 Selangor Darul Ehsan


Tempat Lahir: Tampin, Negeri Sembilan


Asal: Felda Pasir Besar,Gemas. Negeri Sembilan


Adik beradik: Anak bongsu daripada 6


Suami: Mohd Nasir Rustam Al Hafiz


Anak: Yasmin Sofea, Muhammad Adam Shauqi, Mariam Hani, Muhammad Naufal Kholili


Pendidikan: Sekolah Agama Menengah Rendah Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan, Sek Men Agama Kebangsan, Syarifah Roziah, Telok Emas,Melaka, Diploma Tahfiz Al-Quran JAKIM Malaysia


Bidang Pengkhususan: Pendakwah Bebas (Motivator)


Pengalaman Kerja: Penceramah Bebas media TV Tempatan (tv3,tv1), Penolong Pengarah Urusan Tahsin Al Quran Training Centre, Guru Tahfiz Tahsin Quran Training Centre, Motivator dipenjara wanita kajang utk kakitangan dan banduan, Menganjurkan program2 motivasi Al-quran Ala Madrasah, Bekerjasama dengan anti dadah kebangsaan, menganjur dan sbg motivator utk pelatih pusat serenti,latihan utk menjadi imam dan bilal peringkat kebangsaan., Motivator untuk sekolah-sekolah serta Universiti tempatan, Menganjurkan motivasi kecermelangan dan rohani untuk sekolah-sekolah serta Universiti tempatan


Link web : http://www.tahsinquran.com/




2 comments:

AMA said...

Assalaamualaikum. Saya ingin jemput Ustazah Asni ke masjid saya di Kelana Jaya. Tetapi saya tiada no hp beliau. Minta puan maklum no kontek beliau kps saya 0193843962 - Azri

Unknown said...

ustqzah tolong sy..sy dlm ad mslh ni..sy xtau mnta tlg sp..sy arap ustazah dpt contact sy smula..sy amat mnunggu pgln ustazah ..ni no sy 01128110928