WELCOME NOTES


Thursday, November 3, 2011

Alkisah negeriKu Pahang

السلام عليكم




Photobucket


Asal Usul negeri Pahang


Pada zaman dahulu Negeri Pahang Darul Makmur mempunyai berbagai nama. Pengarang China menyebutnya sebagai Pang-Hang, Peng-Heng, Pang-Heng, Pong -Fong, Phe-Hang,Pang-Kang dan lain-lain. Pada tahun 1225 Chao Ju-Kua telah mengarang sebuah buku bernama Chu-Fan-Chi, beliau menyatakan di antara beberapa buah negeri yang ditakluki di bawah kuasa San-fo-chi ialah negeri yang bernama Peng-keng. Peng-keng itu ialah Negeri Pahang Darul Makmur. Orang Arab dan orang Eropah zaman dahulu menyebut Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paon, Phaan, Paham, Fanhan, Phang dan Pahagh. G.R. Tibbetts, seorang ahli sejarah yang mengulas kisah yang ditulis dengan huruf Arab dalam buku karangan Mas'udi itu pada pendapat Tibbetts ialah Pahang. Dia lebih setuju menyebut perkataan Fanjab itu sebagai Fanhan, Panghang atau Panhang. Semuanya itu dimaksudkan Pahang. Ada setengah pendapat menyatakan Pahang berasal dari bahasa Siam asli ertinya timah. Orang Siam asli yang dulunya mendiami negeri ini dengan membuka lombong bijih timah terutama di Sungai Tembeling.

Mengikut cerita orang tua-tua Melayu pula, pada zaman dahulu di Sungai Pahang iaitu bertentangan dengan Kampung Kembahang, ada sebatang pokok kayu Mahang yang besar rebah melintang menyeberangi sungai itu. Dari Pokok Mahang itu kononnya berasal nama Negeri Pahang Darul Makmur itu.Gelaran tua bagi Negeri Pahang Darul Makmur itu ialah Inderapura, disebut Pahang Inderapura. Bandar Dirajanya terkenal hingga sekarang dan ibu negeri pada zaman dahulu iaitu Pekan.Sebelum ditakluk oleh kerajaan Melayu Melaka ia dikenali sebagai Pura.


Asal Usul Nama Kuantan


Melalui catatan sejarah, Kuantan telah wujud semenjak awal tahun 1850-an. Kewujudan Kuantan pada kurun ke 19 adalah bermula sebagai sebuah penempatan. Kewujudan Kuantan ini telah disentuh oleh Abdullah Munsyi pada tahun 1851/52 seperti berikut:

"Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari KUANTAN. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada, maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari... ... ... ."

Pada peringkat awalnya Kuantan lebih dikenali dengan nama Kampung Teruntum. Penempatannya adalah di sekitar muara Sungai Kuantan iaitu berhadapan dengan bangunan hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sekarang . Ia telah dibuka oleh Haji Senik dan pengikut-pengikutnya dalam tahun 1850an.Nama Teruntum ini dikatakan berasal dari pokok Teruntum yang banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan pada ketika itu.

Semasa tinggal di sini mereka mengusahakan kawasan paya yang terletak di tapak hospital sekarang disamping menangkap ikan dan berniaga secara kecil-kecilan. Bukti bahawa kawasan tersebut telah dijadikan penempatan ialah Perkuburan Cik Timah berhampiran Taman Esplanade (Benteng) sekarang. Tapak Perkuburan Cik Timah.

Selain dari itu dikesahkan juga bahawa terdapat sebuah perkampungan di hulu Kampung Teruntum yang dibuka pada tahun 1854 oleh orang Melayu dari daerah Sumatera. Mereka diketuai oleh Encik Besar . Tempat ini kemudiannya dikenali dengan nama Kampung Orang Kuantan dan lama kelamaan panggilan ini di pendekkan kepada perkataan "Kuantan" dan kekal sehingga ke hari ini.

Asal Usul Nama Tempat di Kuantan


Asal-usul nama beberapa tempat di Kuantan, diperolehi melalui cerita-cerita lisan orang-orang tua.

TELUK SISEK
Kawasan ini asalnya adalah sebuah teluk. Berhampiran dengannya terdapat sebuah bukit yang menganjur ke teluk. Di kawasan kaki bukit inilah selalunya "penyu-penyu sisek" mendarat untuk bertelur. Zaman beredar dan melalui proses pembentukan muka-bumi, teluk kini bertukar menjadi paya. Kawasan ini kemudiannya diteroka dan dibangunkan. Namanya diilhamkan dari peristiwa yang dikaitkan dengan "teluk" dan "sisek". Sehingga kini masih terdapat kulit-kulit siput lama di sekitar tasik di belakang kediaman YAB Menteri Besar sebagai bukti bahawa tempat ini dahulunya adalah sebuah teluk.

KAMPUNG JAWA
Semasa Estet Batu Talam dibuka untuk tanaman getah, ramai orang-orang Jawa telah bekerja sebagai penoreh getah. Mereka telah membuat penempatan berhampiran Kampung Tengah. Hasilnya kawasan ini akhirnya dikenali sebagai Kampung Jawa.

BUKIT SETONGKOL
Kedudukan bukit ini agak ganjil kerana ianya hanya setongkol sahaja jika dibandingkan dengan bukit-bukit yang lain di persekitarannya. Bersesuaian dengan keadaan fizikalnya ini, kawasan ini dinamakan Bukit Setongkol.

BUKIT UBI
Sebelum dijadikan kawasan pecah batu, bukit ini telah dijadikan kawasan penanaman ubi kayu oleh penduduk-penduduk tempatan. Makan kekallah namanya Bukit Ubi.

PADANG LALANG
Kawasan ini dahulunya adalah sebuah padang yang dipenuhi dengan lalang.

TANJUNG LUMPUR
Tanjung yang menghala ke laut ini telah diliputi oleh mandapan lumpur yang banyak. Sejak dari itu, tanjung ini dikenali sebagai Tanjung Lumpur.

GAMBANG
Di sini, suatu ketika dahulu terkenal dengan permainan gambang (cak lempung) di kalangan masyarakatnya. Oleh yang demikian tempat ini terus dinamakan Gambang.

ALUR AKAR
Di kawasan ini dahulunya beralur dan ditumbuhi pula dengan pokok-pokok hutan tua berakar besar dan berlingkar-lingkar. Keunikan keadaan kawasan ini langsung membawa kepada namanya sekarang.

PERAMU
Tukang-tukang rumah bertumpu ke tempat ini untuk mencari bahan-bahan membuat rumah yang terdiri daripada kayu-kayu hutan. Istilah mencari bahan-bahan ini dikenali sebagai "meramu" dan akhirnya menjadi Peramu hingga sekarang.

BESERAH
Setelah kematian anaknya iaitu Cik Timah, Haji Senik (penduduk asal Kuantan) telah membuat keputusan meninggalkan Kampung Teruntum yang banyak meninggalkan kisah-kisah sedih. Beliau kemudiannya berpindah ke sebuah kawasan di utara Teruntum. Setelah membuat sebuah penempatan baru, kawasan ini pula diserang sejenis penyakit yang dikenali sebagai "hawar". Semua penduduk di kawasan ini bercadang untuk berpindah ke tempat lain tetapi Hj. Senik meminta mereka bersabar dan berserah kepada Allah SWT. Kerana sikap mesyarakatnya sentiasa bertaqwa dan berserah kepada Allah SWT, maka tempat ini dipanggil "Beserah" sehingga sekarang.


p/s: tpt tinggalku kg jaya gading- banyak gading gajah kot dulu2.


blog

No comments: