Zaman Gabra :
Segala simpanannya dikeluarkan bagi mengelakkannya menerima surat saman. Ada kalanya dia terpaksa menangguhkan bayaran ansuran rumah supaya dapat menjelaskan ansuran kad kredit yang sudah tiga bulan tertunggak. "Abang, susu Aiman sudah habis." Balqis berkata pada suatu hari semasa Kamarul pulang dari pejabat. "Kenapa Balqis tidak beritahu awal bulan, sekarang mana abang ada duit!" Dalam poket seluarnya hanya ada RM3, dalam bank RM 16.42.
Dia terpaksa mendapatkan bekalan susu di pasar raya yang menerima pembayaran melalui kad kredit. "Ah, lega... kad kredit diterima" katanya sambil matanya tertumpu pada mesin pembaca kad kredit. Sampai sahaja di rumah telefon bimbitnya berbunyi. Balqis bingung mengapa Kamarul tidak menjawab panggilan itu. "Abang, telefon tu, kenapa tidak angkat?" tegur Balqis. "Biarlah, orang yang menguruskan kad kredit tu. Sudah pukul 7 malam pun masih nak bekerja, susahlah kalau macam ini." "Sudahlah sehari suntuk bank menelefon bertanyakan ansuran kereta yang dua bulan tertunggak. Bukan aku tidak mahu bayar, tetapi duit bulan ini sudah habis, tunggulah bulan depan," hatinya berbicara. "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
" Begitulah nasib Kamarul. Sehingga kini, sudah tiga kali dia naik turun mahkamah. Hutang kad kreditnya sahaja sudah mencapai berpuluh-puluh ribu ringgit, tetapi gajinya masih di takuk lama. Kini hanya tinggal satu kad kredit sahaja yang dapat digunakan. Semua keperluannya terpaksa dibayar melalui kad kredit. Faedah yang perlu ditanggung lebih daripada RM500 sebulan itu belum dicampur pokok yang perlu dibayar. Dia merasa takut apabila dilanda musibah kerana tidak mempunyai duit simpanan. Apabila keretanya rosak, dia tidak dapat menggunakan kad kredit kerana semua kad kreditnya sudah hampir mencapai had maksimum.
Dia terpaksa menangguhkan pembayaran ansuran rumah dan kereta dan menggunakan duit gaji itu bagi membaiki keretanya. Kemalangan, kena saman, kereta rosak, anak masuk wad, ahli keluarga sakit dan insurans kereta tamat adalah perkara-perkara yang mampu membuatkan dirinya tertekan. Kini, satu-satunya kenderaannya baru sahaja ditarik. Bagi mengurangkan kos, dia menghantar anak dan isterinya balik ke kampung buat sementara waktu. Sebenarnya dia tidak sanggup berpisah dengan mereka tetapi dia terpaksa. Dia sudah mendapat notis dari bank bagi mengosongkan rumah kerana ia akan dilelong.
Zaman Derita :
Di kala Kamarul memerlukan sokongan daripada orang yang tersayang, dia diuji lagi dengan ujian yang besar. Isterinya memohon cerai kerana tidak tahan dengan keadaan hidup mereka yang semakin susah. Dia sudah tidak mampu memberi keperluan zahir kerana duit gajinya terpaksa digunakan membayar hutang-hutang itu. Dipendekkan cerita, pada 23 Ogos yang lepas, dia diisytiharkan muflis. Dia berasa sangat malu melihat namanya terpampang di dada akhbar-akbar tempatan. DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA DALAM KEBANKRAPAN NO X-XXXX-XXXX BER: SI POLAN BIN SI POLAN (NO. K/P XXXXX-XX- XXXX) ... .Penghutang EX-PARTE: XYZ BANK BERHAD ... ... ... ..
Habis semua harta Kamarul dilelong bagi membayar balik segala hutangnya. Selepas rumah dan keretanya dijual, dia masih berhutang sebanyak RM 45,000. Kamarul berasa sangat tertekan. Dia merintih, "Mana aku hendak letak lagi muka aku ini, nama aku sudah tidak ada nilai lagi. Sekiranya dahulu dunia ini satu pinjaman, maka aku pinjamlah. Tetapi, kini aku sudah tidak ada apa-apa lagi. Hidup aku porak-peranda kerana hutang. Oh, malangnya nasibku, seorang yang mempunyai ijazah tetapi akhirnya kecundang. Tetapi kenapa yang banyak kecundang adalah orang yang berpendidikan tinggi seperti aku ? Harga diri aku sudah tergadai." "Wahai cucuku, setiap yang lahir ke dunia ini dimuliakan oleh Tuhan dengan maruah. Tetapi yang menjatuhkan dan menggadaikannya adalah kita. Tuhan tidak pernah ingin perkara yang tidak baik kepada kita, hanya kita yang menghancurkan diri kita. Bertaubatlah, sesungguhnya Tuhan itu maha pemurah dan pengampun." Suara seorang tua berpakaian serba putih yang muncul dalam mimpi semalam masih terngiang-ngiang di corong telinga Kamarul. Ketika ini terdengar di corong telinga Kamarul. "Roh seorang Muslim... " "Ya Allah, janganlah ambil nyawaku pada masa ini. Aku benar-benar takut sekiranya Tuhan mengambil nyawa aku pada masa ini kerana aku mungkin menjadi muflis di dunia dan akhirat." Hidup aku Porak Peranda Keranamu Hutang !
No comments:
Post a Comment